TULISAN INI DITULIS OLEH
HISHAMUDDIN RAIS DAN WAJIB DIBACA OLEH UMAT ISLAM DI SELURUH DUNIA ........
Wajib disedari, merayakan puasa ini
bukan hanya amalan penganut agama Islam. Penganut agama Hindu sebelum membayar
niat membawa Kavadi di Batu Caves juga akan berpuasa. Penganut agama Yahudi
juga berpuasa untuk menyambut hari kebesaran Yom Kippur. Dalam pelbagai mazhab,
agama Kristian ada ritual berpuasa.
Ada arahan agama yang melarang makan dari subuh hingga senja. Ada yang berpuasa
setelah makan tengah hari seperti amalan harian para rahib dan sami yang
tinggal di Pagoda. Ada berpuasa yang hanya menolak daging dan makanan berdarah.
Dari semenjak zaman kuno lagi, amalan berpuasa ini telah wujud. Manusia merasa
bersyukur dan berterima kasih kepada Yang Maha Esa kerana telah memberikan
mereka nikmat makanan.
Dari segi teorinya, jika kita tidak makan dan kita berlapar, maka kita akan
merasakan betapa nikmatnya makanan yang ada disekeliling kita. Dari segi
teorinya, apabila kita berlapar, maka sang penganut agama akan berupaya untuk
merapati Tuhan. Dari segi teorinya dikatakan jika kita berpuasa, maka kita akan
sama merasakan bagaimana kelaparan selalu menyerang fakir miskin yang
tergelincir makan.
Semua hujah dari teori-teori ini telah saya dengar ketika saya membesar.
Teori ini makin banyak kedengran ketika bulan Ramadan. Teori-teori ini semuanya
dilihat indah dan suci jika kita memandang sekali imbas. Paling tepat
pandangan teori ini ialah, apabila berpuasa kita akan merasa lapar. Apakah
kelaparan berpuasa, ini akan membuka kesedaran hakiki untuk memahami makan,
makanan, lapar dan kelaparan.
Kita sering melihat imej-imej kelaparan. Imej-imej ini atau lebih tepat lagi
imej kebuluran di Ethiopia telah sama-sama kita lihat pada tahun-tahun 80-an
dahulu. Kini, imej-imej ini telah beralih pula ke Somalia dan ke Sudan. Imej
rangka anak-anak kecil yang kebuluran tidak makan ini tidak ada sangkut paut
dengan amalan agama atau berlapar untuk mencari ketenangan hidup. Apa yang berlaku
ialah kemarau yang melanda dan telah memusnahkan tanaman.
Keadaan ini diburukkan lagi oleh kacau bilau politik atau perang. Justeru, saya
ingin menimbulkan satu jalur wacana tentang lapar. Dari mana lapar datang?
Kenapa ada yang lapar tanpa makanan? Kenapa ada pula yang ditimbuskan oleh
bertimbun-timbun makanan. Rasa saya pada bulan Ramadan ini adalah masa ketika
yang tepat untuk kita semua memahami kenapa ada yang lapar, ada yang berlapar,
ada yang sengaja nak lapar.
Kita selalu terbaca bagaimana kemarau berpanjangan yang mengakibatkan
kebuluran. Imej dan kisah-kisah kebuluran ini sering kita ketahui datangnya
dari Afrika. Pada tahun-tahun 90-an dahulu, warga dunia juga telah mendengar
tentang kebuluran yang telah menimpa Korea Utara.
Kalau di Ethiopia dan Somalia punca kebuluran ialah kemarau, manakala di Korea
Utara puncanya ialah banjir. Kering-kontang akan membunuh semua tanaman. Bumi
yang subur akan menjadi kering berdebu. Bila diampuh oleh air, tanaman juga
akan mati. Tak ada air manusia akan kebulur tak makan. Terlalu banyak air pun,
manusia akan kebulur tak makan. Lihat betapa paradoksnya perjalanan hidup
manusia ini.
Sebenarnya, kebuluran yang wujud dalam dunia hari ini adalah hasil kraftangan
manusia sendiri. Tidak betul apabila dikatakan bahawa dunia hari ini kekurangan
makanan. Ini satu pembohongan. Dengan teknoloji tercanggih, dengan teknik
pertanian moden - manusia seluruh dunia tidak perlu puasa untuk kebulur.
Pengeluaran makanan dalam dunia ini mencukupi untuk warga dunia - ini kenyataan
dari FAO - lembaga makanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Untuk memahami kenapa ada lapar mari kita lihat Sudan. Negara di selatan Mesir
ini dilintasi oleh Sungai Nil. Ini menjadikan Sudan wilayah bumi yang subur.
Mengikut kajian, penghasilan makanan di Sudan sahaja telah cukup untuk memenuhi
keperluan makanan untuk semua negara Arab. Tetapi ini hanya kajian. Hakikatnya,
kebuluran sering menyerang Sudan.
Kebuluran di Sudan ini bukan kerana Tuhan murka. Bukan kerana warga Sudan
dilaknati. Memang betul ada bencana alam. Tetapi bukan ini yang menyebabkan
kebuluran - tetapi perang merebut 'wilayah minyak' yang tidak diumumkan kepada
dunia - sedang membulurkan warga Sudan.
Kemudian kita beralih ke India. Dari India kita selalu terlihat imej anak kecil
yang tulang-tulang rangka tidak terbarai kerana diikat oleh kulit badan. Dengan
mata buntang Sang Ibu yang mengendong anak ini sedang menghulur tangan,
meminta-minta serpihan makanan. Kadang-kala kita melihat imej ratusan
orang-orang kampung kurus kering sedang duduk mencangkung kerana telah berpuasa
berbulan-bulan tanpa sahur atau tanpa jemputan ke bufet Ramadan.
Apa yang jelas disini bukan dunia kita ini kekurangan makanan. Tetapi
hakikatnya pengagihan makanan ini tidak adil. Ketidakadilan pengagihan makanan
inilah punca utama yang menimbulkan kebuluran. Bencana alam dan kacau bilau
politik hanya rempah rampai untuk menambahkan lagi kebuluran itu.
Imej ibu dan anak-anak yang kurus kering dari India atau Afrika itu sebenarnya
tidak menggambarkan apa yang sebenarnya terjadi. Gambar kebuluran di Darfur
tidak menceritakan bagaimana orang-orang kampung telah dihalau keluar kerana
dibawah tanah pertanian mereka terdapat telaga minyak. Begitu juga di India,
orang-orang kampung ini dipaksa pindah kerana tanah-tanah pertanian mereka kini
diperlukan untuk dijadikan wilayah perindustrian. Atau tanah pertanian mereka
di rampas tuan tanah atau tergadai kerana hutang.
Kaum tani ini bergantung hidup kepada tanah. Walaupun mereka tidak memiliki
tanah yang luas, tetapi mereka boleh bercucuk tanam untuk mendapat bahan
makanan. Ramai pula yang tidak bertanah - mereka ini menjual tenaga bekerja
mencari makan menjual tenaga sebagai buruh tani di ladang dan sawah. Apabila
tanah-tanah pertanian ini diubah suai untuk dijadikan bandar baru atau kawasan
perindustrian, maka disinilah munculnya bibit kelaparan.
Untuk memahami bagaimana miskin dan lapar datang, mari kita lihat apa yang
sedang berlaku di Johor. Pada ketika ini, seramai 30,000 orang kampung -
nelayan dan petani - di Pengerang sedang diancam. Sebanyak 18 buah kampung
dengan keluasan 22,500 ekar tanah pertanian akan diambil alih oleh kaum pemodal
untuk dijadikan loji, takungan dan tempat penapisan minyak. Orang orang kampung
di Pengerang sedang dipaksa untuk menjualkan tanah kampung mereka.
Kalau di India atau di Sudan, orang-orang kampung ini akan hanya dihalau
keluar. Tanah mereka akan dirampas. Di Malaysia ini, kalau mengikut hati
sanubari para Towkay dan Si Pemaju, orang-orang kampung di Pengerang ini juga
wajib dihalau dan tanah mereka wajib dirampas. Ini untuk mengurangkan kos
pembinaan dan mengurangkan duit pampasan.
Pak Tani yang telah beratus tahun bekerja mengeluarkan makanan kini wajib
dipindah entah kemana. Nelayan yang sebati dengan laut kini dinaikan ke darat.
Pak Tani dan Sang Nelayan ini menghasilkan makanan. Mereka tidak pernah lapar.
Mereka tidak pernah kebulur. Tetapi apabila punca penghasilan makanan mereka
dirampas, maka dari sinilah punca kelaparan dan kebuluran bermula.
Kita jangan merasa angkuh untuk berbangga dan mendabik dada berkata - tidak ada
kebuluran di Malaysia. Jangan lupa dengan detik sejarah. Pada bulan
Disember tahun 1974 dahulu, ribuan orang-orang kampung, warga di Baling, Kedah
telah keluar ke jalan raya kerana kebuluran. Mereka lapar tak makan kerana
mereka miskin.
Justeru, pada anggapan saya, ceramah-ceramah Pak Lebai dan Pak Ustaz yang cuba
menerangkan hikmah berlapar dalam bulan puasa ini - tidak mencukupi. Merasakan
kelaparan para fakir miskin setahun sekali tanpa memahami kenapa mereka lapar
dan bagaimana lapar datang adalah kuliah setengah jalan. Kelaparan fakir miskin
yang kita rasakan ketika kita berpuasa pada bulan Ramadan ini tidak lengkap.
Kita bukan hanya berkongsi merasa lapar tetapi seharusnya kita juga tidak mahu
lagi sesiapa pun terus merasa lapar.
Berpuasa di bulan Ramadan ini juga seharusnya membukakan fikrah kita
untuk menjangkau lebih mendalam. Berupaya untuk melihat satu-satu fenomena itu
bukan hanya dikulit atau dibaju. Kelaparan yang sedang dirasakan ketika
berpuasa seharusnya menenangkan fikrah untuk berupaya melihat alam secara
menyeluruh.
Melihat alam ertinya melihat bagaimana bencana alam - banjir, taufan, kemarau -
sebenarnya lahir dari rekacipta manusia itu sendiri. Bencana alam yang
melahirkan kebuluran itu juga adalah hasil tanda kerakusan manusia merobek
alam. Jika ketenangan fikrah yang dicari oleh penganut Islam dalam bulan
Ramadan ini gagal untuk memaksa kita bertanya diri - kenapa ada yang lapar?
Atau mencari jawapan kenapa ada yang lapar - walhal makanan bertimbun-timbun.
Maka berlapar itu hanya dilakukan untuk berlapar kerana mengekor semua
warga Islam yang berlapar pada bulan ini.
Jika warga Islam berpuasa hanya untuk merasakan lapar tanpa memahami agenda
kemiskinan, maka berlapar sedemikian hanya ritual. Para ritualis yang lapar ini
adalah mangsa terbaik untuk tuan empunya hotel yang sedang menyediakan 'Buffet
Ramadan 100+++' yang telah mendapat tauliah 'halal' dari Jakim.
NOTA
tulisan ini telah pernah disiarkan
dalam yahoo international
pada 26 julai 2012